GEORGETOWN: Segelintir kaki ekor di negeri ini sanggup mempergunakan kalimah Allah untuk melakukan pemujaan nombor ekor di rumah berhala demi memenangi pertaruhan bernilai ribuan ringgit.
Lebih mengejutkan, mereka sanggup merosakkan kesucian Islam dengan menggantung gambar masjid dan kepingan kain kuning yang mengandungi tulisan Jawi, songkok serta kopiah.
Mereka sanggup menggunakan tokong Cina di beberapa tempat di negeri ini yang kononnya dianggap tempat suci untuk melakukan pemujaan nombor ekor.
Aktiviti kaki ekor itu, bagaimanapun terbongkar apabila tiga tokong Cina diserbu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang di sini semalam, selepas mendapat maklumat awam.
| |
Serbuan bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penyelidikan JHEAIPP diketuai Ketua Unit Pemantau Akidah, Azmah Abdullah.
Azmah berkata, dalam serbuan itu, pihak JHEAIPP melakukan pemeriksaan di tiga tokong Cina di Jalan Paya Terubong, Jalan Batu Lanchang dan Jalan Gangsa yang disyaki digunakan untuk pemujaan nombor ekor berdasarkan aduan awam sejak tahun lalu.
Katanya, dalam pemeriksaan itu pihaknya turut menghantar pegawai penyiasat termasuk pakar sejarah dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melakukan pemeriksaan.
“Ada segelintir tokong Cina mempunyai beberapa kopiah putih yang digantung dan diletakkan atas tugu batu manakala ada tokong yang menggantung gambar masjid dengan kalimah Allah.
“Pihak JHEAIPP mengesyaki berlaku upacara pemujaan yang bertentangan ajaran Islam,” katanya.
Azmah berkata, dalam pemeriksaan itu juga terdapat sebuah tugu seperti kubur dilengkapi kopiah dan gambar masjid dengan kalimah Allah digantung di belakang tugu.
Beliau berkata, tokong Cina yang berusia lebih 100 tahun itu didakwa memperoleh tugu itu dari Aceh, Indonesia sebagai hadiah ‘suci’ dan penjaga tokong itu memberitahu dia tidak mengetahui tindakan menggantung gambar masjid serta kalimah Allah adalah salah.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14 (1) Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, garis panduan perbuatan, pengendalian, penjualan dan pelupusan bahan penerbitan dan perhiasan yang mengandungi ayat al-Quran yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diguna pakai dalam kes itu
No comments:
Post a Comment